Sokongan hak awam Kee_Thuan_Chye

Kesedaran politik Kee Thuan Chye dibangkitkan sewaktu beliau tidak mampu mengejar kursus ijazah Sarjananya kecuali berjaya mendapatkan kerja sebagai tutor.[2] Beliau memohon untuk jawatan tersebut tetapi jawatan itu kemudian ditawarkan pula kepada siswazah yang lain, sedangkan beliau merupakan siswazah yang terbaik pada tahun itu.[2] Justeru, Kee menyertai akhbar National Echo yang kini tidak wujud lagi sebagai editor sastera dan menulis rencana-rencana tentang politik. Berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk menyertai akhbar New Straits Times pada 1979, beliau melihat dengan lebih jelas bagaimana bangsa telah dipolitikkan oleh kerajaan untuk membahagikan rakyat. Mahathir bin Mohamad yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1981 semakin bersikap diktator dan tidak mentoleransi sebarang kritikan terhadap diri atau pemerintahannya dalam media.

Namun apa-apa yang Kee Thuan Chye tidak boleh mendedahkan melalui akhbar, beliau akhirnya menyatakannya dalam bentuk drama. 1984 Here and Now yang bersuara secara terus terang terhadap Big Brother dan diskriminasi ras berinstitusi menerima sambutan yang amat mesra pada 1985,[2] disusuli antara lain oleh The Big Purge yang mempersendakan Mahathir serta Operasi Lalang.

Sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 2008 diumumkan, Kee Thuan Chye bergegas menerbitkan bukunya, March 8: The Day Malaysia Woke Up, dalam tempoh hanya 3 bulan, disebabkan sifat kandungan bukunya. Ini disusuli oleh buku yang berjudul March 8: Time for Real Change pada 2010. Kerana bersuara tanpa ketakutan atau berpihak, Kee dipilih sebagai salah satu penerima awal Anugerah Kebebasan Bersuara The Annexe Heroes sewaktu anugerah itu dilancarkan oleh The Annexe Gallery di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 2008 bagi menghargai warga Malaysia yang telah memberikan sumbangan yang luar biasa kepada perjuangan kebebasan bersuara pada tahun sebelumnya.[4] Pada 2010, Kee Thuan Chye juga dipilih sebagai Warga Malaysia Ke-34 Yang Paling Boleh Dipercayai dalam suatu tinjauan yang dijalankan oleh Reader's Digest.[1]